Halaman

Rabu, 23 Februari 2011

Dulu Kutip Syiling, Kini Kutip Beras Pula

Jika bulan lepas ada pesta kutip duit syiling di Seremban, semalam pula ada pesta kaut beras di Kilometer 394.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah ke Selatan berhampiran Behrang-Tanjung Malim.

Pesta kaut beras pada pukul 9.15 pagi itu berlaku apabila beratus-ratus kilogram beras daripada sebuah treler membawa muatan beras tumpah apabila kenderaan berat itu merempuh sebuah lori membawa muatan pasir.

Akibat perlanggaran itu juga, kelindan treler membawa beras maut manakala pemandunya cedera parah. 

Apa nak jadi dengan sikap masyarakat hari ini. Ketika ada yang meratap kehilangan orang tersayang, ada juga yang bersuka ria memungut sesuatu yang bukan milik mereka.

Selasa, 22 Februari 2011

Padah Meragut

Kegembiraan dua lelaki warga asing untuk meraikan kejayaan dapat menyamun beg tangan seorang wanita tidak bertahan lama apabila salah seorang mereka mati manakala seorang lagi cedera parah selepas motosikal yang mereka tunggangi merempuh kereta mangsa di Jalan Mega 11, Taman Mega Jaya ,Ampang.

Kejadian pukul 8.30 pagi itu menyebabkan seorang suspek berusia 35 tahun mati selepas tertonggeng ke dalam longkang hingga menyebabkan kemaluannya pecah.

Mangsa , seorang arkitek wanita bertindak mengejar peragut beg tangannya lalu berlaku pertembungan  antara motorsikal Yamaha LC yang ditunggangi suspek dengan Toyota Vios milik mangsa.

Inilah padahnya melakukan jenayah. silap hari bulan nyawa melayang. Lebih memalukan tewas ditangan seorang perempuan yang disangka lemah. Peringatan..tidak semua wanita itu lemah.

Jumaat, 18 Februari 2011

Tahniah Honda

Honda Malaysia Sdn. Bhd. memanggil balik 21,956 unit model City 2009 dan 1,680 unit model Jazz 2009 dan 2010 bagi menggantikan lost motion springs dan retainers bagi kesemua kenderaan terbabit.

Dalam satu kenyataan, Honda berkata, lost motion springs yang dimampat oleh rocker arms dalam enjin biasa mungkin bengkok atau pecah sekali gus mengakibatkan bunyi enjin yang bising dan berpotensi menyebabkan enjin terhenti.

Baguslah macam ini. Nampaknya pengeluar kereta dari Jepun ini begitu menjaga mutu keluaran mereka. Ada kelemahan yang berlaku, mereka tidak malu mengakui kelemahan dan terus membuat penambahbaikan

Isnin, 14 Februari 2011

Tak Serik-Serik

Masih tak serik-serik. Lagi tangkapan khalwat malam valentine di hotel-hotel bajet seluruh negara. Pelbagai alasan diberi pasangan yang terkantoi.

Ni baru tangkapan di hotel bajet. Kalaulah di hotel bertaraf lima bintang juga diadakan serbuan, agaknya berapa ramai lagi yang terkantoi. Yang sewa hotel bajet ini biasanya budak-budak lagi.Poket nipis lagi.

Cubalah serbu hotel mahal-mahal tu. Agak-agak siapa yang terkantoi?

Ahad, 13 Februari 2011

Rizal Tisin Ungguli Kejohanan Basikal Asia

Lagu Negaraku berkumandang di Velodrom Kompleks Sukan Korat semalam apabila Mohd. Rizal Tisin berjaya meraih pingat emas pertama buat kem Malaysia menerusi acara kegemarannya, 1 kilometer ujian masa lelaki.


Kejayaan tersebut menyaksikan Rizal kembali menggenggam pingat emas dalam acara yang sama selepas dia ditabalkan juara pada ACC 2008 di Nara, Jepun.

Tahniah Rizal

Bahana Dadah


Tindakan seorang wanita warga Afrika berbogel dan berjoget di tepi jalan raya di Cheras dipercayai bukan disebabkan gangguan mental secara semula jadi, sebaliknya ia kesan sampingan selepas satu daripada puluhan bungkusan kecil dadah ditelannya, pecah dalam perut.

Sumber polis berkata, perkara itu terbongkar selepas hospital membuat imbasan X-ray pada bahagian perut wanita terbabit yang kelihatan agak buncit.

Berikutan itu, polis percaya wanita terbabit ‘keldai dadah’ digunakan sindiket penyeludupan dadah ke negara ini dan dia menelan puluhan bungkusan sebesar ibu jari mengandungi dadah jenis heroin bertujuan menyoroknya daripada dikesan pihak berkuasa.

Inilah salah satu bahana dadah.. manusia akan hilang "kemaluan" diri.

Rabu, 9 Februari 2011

Harimau Malaya Mengaum Lagi

Skuad bolasepak kebangsaan sekali lagi membuktikan kemampuan mereka di pentas antarabangsa apabila menewaskan Hong Kong  2-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A  pertama tahun 2011 yang dilangsungkan di Stadium Shah Alam 9 Febuari 2011.

Gol Malaysia dijaringkan oleh Safiq Rahim dan Amirul Hadi Zainal. Tahniah wira Harimau Malaya.

Pemain : Khairul Fahmi Che Mat, ( Farizal Marlias ),
                Mahali Jasuli ,( Sabre Mat Abu ),
                Aidil Zafuan Razak, Mohd Fadhli Shas,
                Asraruddin Putra Omar, S. Kunanlan,
                K. Gurusamy ( G. Mahathevan ),
                Safiq Rahim, Ashaari Shamsuddin,
                ( Amirul Hadi Zainal ), Ahmad Fakhri Saarani,
                ( Nor Shahrul Idlan Talaha ), Safee Sali
                ( Shahrizal Saad )

Isnin, 7 Februari 2011

Safee Sali Ke Pelita Jaya Fc


Penyerang sensasi Malaysia, Safee Sali akhirnya berhijrah untuk bermain di Liga Indonesia apabila menyertai kelab Pelita Jaya FC. Safee diikat kontrak selama setahun bermula 14 Febuari 2011.


Apa yang diketahui, kelab Pelita Jaya ketika ini menduduki tangga terakhir liga yang disertai oleh 15 pasukan. Wajar atau tidak Safee menyertai kelab ini ketika peluang untuknya memenangi sebarang kejuaraan di sana amatlah tipis.

Peluang untuknya memenangi sebarang piala di Malaysia mungkin cerah jika masih bersama Selangor, namun demi untuk mencari pengalaman bermain di kelab luar, Safee sanggup  berhijrah biarpun mengetahui kelab yang bakal disertainya berada di kedudukan tercorot liga Indonesia.

Inilah semangat yang kita mahukan. Tidak kiralah kelab mana sekalipun, kerana pengalaman yang dikutip Safee tidak boleh dibeli. Tahniah Safee dan selamat maju jaya.

Sabtu, 5 Februari 2011

Tidak Serik - Serik

Malang tidak berbau. Jika sudah sampai ajalnya, dimana sahaja boleh berlaku. Lagun maut Kuala Semerak, Kelantan meragut seorang lagi nyawa.

Rabiatul Adawiyah Razni, 8, menjadi korban lemas ketika berkelah di lagun itu yang mempunyai dasar yang jerlus.


Mereka yang menetap di Kajang, Selangor mengambil peluang bersantai sekeluarga di situ apabila pulang bercuti di Machang dekat sini sempena Tahun Baru Cina.

Sebelum ini sudah ramai yang menjadi korban di Lagun tersebut. namun masih ada lagi yang masih memperjudikan nyawa bermandi manda di sana. Walhal untuk mencari kepah sekalipun, keselamatan diri haruslah diutamakan. Kawasan berselut ini merupakan kawasan jerlus. Amat sukar untuk mengesan kedudukan tempat jerlus itu. Oleh itu, elakkan daripada bermain di kawasan ini.

Jumaat, 4 Februari 2011

Keprihatinan Orang Kita Masih Kurang

Hal yang ingin dikongsi ini berlaku di salah sebuah Masjid yang dikunjungi penulis untuk menunaikan solat Jumaat  tengah hari tadi.

Sejurus selepas solat Jumaat tadi, diadakan solat hajat bagi memohon perlindungan Allah S.W.T kepada rakyat Malaysia yang terperangkap dengan pergolakkan di negara Mesir.

Malang sekali, tidak ramai yang turut serta menunaikan solat hajat itu. Hanya tinggal beberapa kerat sahaja sedangkan semasa solat Jumaat , ruang sembahyang melimpah ruah ke luar masjid.

Penulis merasakan tahap sensitiviti masyarakat kita masih rendah. Jika ianya tidak melibatkan sanak saudara dan anggota keluarga sendiri, kita tidak prihatin dan tidak ambil tahu. Cuba ada antara rakyat Malaysia yang terperangkap itu adalah sanak saudara kita, sudah pasti tidak cukup solat hajat di masjid, akan dibuat pula dirumah. Diajak imam-imam dan kariah masjid ke rumah untuk bersembahyang hajat.

Inilah sikap orang kita.

P/S : Gambar hanyalah hiasan semata-mata

Khamis, 3 Februari 2011

FAM Wajar Berikan Peluang Untuk Brendan Gan

Dengar cerita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menilai prestasi Brendan Gan ( Pemain bolasepak Sydney Fc) sebelum layak untuk menyarung jersi Malaysia.

Brendan Gan, sungguhpun kelahiran Australia, namun mengikut peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), dia layak mewakili Malaysia. Ini kerana bapanya berasal dari Negeri Sembilan dan dia sendiri belum pernah bermain untuk pasukan kebangsaan Australia.

Sebenarnya ada beberapa orang lagi pemain kelahiran Malaysia yang bermain di luar negara. Salah seorangnya ialah Titus James Palani yang beraksi di liga Perancis. Mula bermain di kelab luar seawal usia belasan tahun lagi. Apa cerita dia sekarang ? Tidak pernah bermain untuk Malaysia kerana apa? prestasinya tidak seberapa atau FAM terlepas pandang akan bakatnya?

Balasan Merogol Anak Kandung

80 tahun penjara dan 40 kali sebatan. Itulah hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap seorang bapa yang sanggup merogol darah dagingnya sendiri  berumur 15 tahun. Lebih memeranjatkan, kejadian itu dilakukan dihadapan isterinya sendiri. Tertuduh melakukan kesalahan ini sebanyak 4 kali yang setiap satu pertuduhan dijatuhi hukuman 20 tahun penjara dan 10 sebatan.

Hukuman ini berjalan berturut-turut. Bermakna tertuduh akan meringkuk di dalam penjara selama 80 tahun dan menerima 40 kali sebatan.

Begitulah dunia hari ini. Seorang bapa yang sepatutnya melindungi anak gadisnya tetapi memperlakukan perbuatan yang terkutuk dan bersifat lebih teruk daripada binatang.

Hukuman yang dikenakan amat berat dan alangkah baiknya kalau hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai, agar menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya kes sumbang mahram ini tidak berlaku lagi.

Al Fatihah Untuk Allahyarham Datuk Abdul Ajid Bin Ahmad

Mantan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ajib Bin Ahmad meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara pada jam 3.25 petang Khamis 3 Febuari 2011 akibat sakit jantung dan meninggalkan seorang balu Datin Ropeah Hassan, 60, serta empat anak.

Allahyarham berkhidmat sebagai Menteri Besar Johor pada tahun 1982 sehingga 1986.  Dalam Pilihanraya Umum 1986, beliau memenangi Kerusi Parlimen Mersing. dan telah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Semoga roh arwah dicucuri Rahmat Allah S.W.T. Al Fatihah.

Rabu, 2 Februari 2011

Jangan Joging Seorang Diri


Kepada kaum wanita, dinasihatkan usahlah joging seorang diri. Bawalah teman ketika beriadah. Dikhuatiri jika berseorangan mudah bagi penjenayah melakukan seuatu seperti lapor akhbar Kosmo hari ini

Petikan daripada akhbar Kosmo 2 Febuari 2011 : Seorang pelajar trauma apabila dia dicabul seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang berjoging dalam satu kejadian di kawasan sebuah universiti di Lembah Klang, Ahad lalu.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku ketika pelajar berusia 22 tahun tersebut diterkam dari belakang oleh seorang lelaki ketika dia sedang berjoging pada pukul 7 pagi.

“Selepas menutup mulut mangsa, suspek terus menolaknya ke dalam longkang sebelum merampas telefon bimbit gadis itu. Suspek kemudian membuka baju dan seluar mangsa sebelum memasukkan jarinya ke dalam kemaluan gadis itu.

“Suspek yang bagaikan dirasuk kemudian cuba memasukkan sebatang ranting untuk ditusuk ke kemaluan mangsa tetapi gagal selepas mangsa melawan sebelum dilepaskan,” kata beliau kepada Kosmo! semalam.
Tambahnya, suspek turut mengugut akan membunuh mangsa jika dia melaporkan kejadian itu kepada polis sebelum melarikan diri.

Menurut sumber itu, mangsa yang mengalami luka di seluruh badan kemudian keluar dari longkang tersebut sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) oleh orang awam yang menemuinya.

Selasa, 1 Februari 2011

Pemilik Satria Gti Dinasihat Berwaspada


Pemilik kereta Proton Satria GTI dinasihatkan lebih berhati-hati ketika meletakkan kenderaan masing- masing kerana siasatan polis mendapati kenderaan berkenaan kini menjadi sasaran utama penjenayah untuk dilarikan.

Difahamkan, selain mudah untuk dicuri, harga alat ganti yang melambung di pasaran dan kualiti sistem keselamatan yang rendah menjadikan penjenayah begitu rakus untuk melarikannya berbanding kereta import.