Halaman

Isnin, 31 Januari 2011

Minyak Petrol Ron 97 Naik Lagi

Tidak pun sampai sebulan  minyak petrol Ron 97 dinaikkan lagi 10sen bermula 1 Febuari 2011. Pada 5 Januari lalu harga minyak ini juga telah dinaikkan 10 sen. Ron 97 akan dijual pada harga RM2.50 seliter.

Bijak sungguh kenaikan kali ini. sehari selepas kemenangan calon BN di Tenang, kerajaan terus menaikkan harga minyak petrol.

Inilah harga yang terpaksa diterima oleh masyarakat.

Ahad, 30 Januari 2011

Musim Runtuh


Sekarang  agaknya musim runtuh. Selepas Timbalan Perdana Menteri, mengistilahkan PKR sebagai Parti Kian Runtuh ekoran kemelut dalaman parti tersebut lain pula yang terjadi di Serdang,Selangor. Siling di kawasan lobi utama Hospital Serdang dilaporkan runtuh. Dipercayai insiden pertama seumpamanya yang berlaku di hospital itu sejak ia mula beroperasi pada Disember 2005.

Insiden yang berlaku kira-kira 12.30 malam itu telah mengakibatkan bahagian-bahagian dan serpihan siling bertaburan di kawasan lantai lobi.

Nasib baik kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa. Jika tidak,  pasti akan menjadi berita hangat seluruh negara seperti runtuhnya Stadium Sultan Mizan di Terengganu dahulu.

Pihak berwajib harus menyiasat bagaimana projek yang menelan belanja besar seperti ini boleh runtuh. harap agar kejadian runtuhan ini tidak ada kaitan dengan kecuaian semasa pembinaan dahulu.

Chong Wei Bukan Tandingan Lin Dan

Lin Dan sekali lagi membuktikan beliau pemain badminton perseorangan terbaik dunia sekalipun bukan pemain nombor satu rangking dunia. Di final terbuka Korea hari ini, dia menundukkan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dalam pertarungan 3 set. Lin Dan menang 21-19, 14-21, 21-16. Jelas Chong Wei masih lagi tiada jawapan terhadap ketangkasan yang dipamerkan oleh Lin Dan. Lin Dan jelas pemain paling sempurna dalam dunia badminton hari ini. Apapun tahniah diucapkan kepada Chong Wei kerana berupaya mara ke perlawanan akhir dan membuktikan tiada pemain lain selain Lin dan yang mampu menyekatnya jika berada pada prestasi terbaik.

Sabtu, 29 Januari 2011

Kelantan Juara Piala Sumbangsih 2011

Tahniah diucapkan kepada pasukan bolasepak Kelantan kerana menjuarai Piala Sumbangsih 2011. Kelantan muncul juara dengan menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam.

Pemain paling bernilai liga Malaysia musim lalu, Norshahrul Idlan Talaha dan Kapten Kelantan, Badhri Radzi  muncul wira pasukannya dengan meledak kedua-dua gol Kelantan. Pemain terbaik perlawanan akhir juga milik pasukan Kelantan apabila penjaga gol mereka Khairul Fahmi Che Mat dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Isnin, 24 Januari 2011

Chong Wei Rangkul Kejuaraan Terbuka Malaysia 2011


Lee Chong Wei membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri membenam juara dunia 2005, Taufik Hidayat 21-8, 21-17 - sekali gus merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam.

Sekalung tahniah buat permata badminnton negara ini. Jelas beliau berada dalam kelas tersendiri apabila terus unggul di persada badminton dunia dengan hanya Lin Dan sahaja yang mampu menumbangkannya.

Untuk rekod, ini merupakan kejuaraan kali ke tujuh Chong Wei di terbuka Malaysia.

Jumaat, 21 Januari 2011

Kereta Baru Wajib Ada Airbag Mulai 2012

Mulai tahun depan, semua kenderaan termasuk kereta keluaran Proton Holdings Bhd. (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) akan diwajibkan memasang beg udara bagi mengelak risiko lebih tinggi termasuk kematian terhadap pemandu atau penumpang yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Langkah ini patut dimulakan sudah lama. Kereta import sudah lama mempunyai sistem beg udara ini.Kenapa baru sekarang negara kita baru hendak kuatkuasakan pemasangan beg udara ini. Walaubagaimanapun tahniah kerana masih tidak terlambat untuk menguatkuasakan pemasangan beg udara ini.

Tahniah TLDM

Kecekapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali lagi terbukti apabila berjaya menyelamatkan sebuah kapal dagang MT Bunga Laurel selepas dua jam ditawan lanun, kira-kira 300 batu nautika (555 kilometer) di timur Oman, semalam.

Misi menyelamat itu dilakukan bersama kapal auxiliary (bantuan dan tugas-tugas khas) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bunga Mas 5 yang terlibat dalam Operasi Fajar bagi memberi perlindungan kepada kapal MT Bunga Laurel itu ketika melalui perairan Teluk Aden.

Tahniah TLDM.

Selasa, 18 Januari 2011

Apa Dah Jadi Dengan Sikap Orang Kita

Orang ramai yang melalui Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur Pedas di Seremban semalam mengambil kesempatan mengutip duit syiling yang bertaburan di atas jalan raya akibat perlanggaran sebuah pacuan  empat roda Toyota Hilux dan sebuah kereta BMW. 

Peti simpanan duit syiling yang dianggarkan berjumlah RM 75,000 yang dibawa oleh Toyota Hilux jatuh ke atas jalan raya lalu terjadilah pesta mengutip duit. Duit yang dikutip tidak pula dipulangkan kepada pemiliknya. Difahamkan duit tersebut dalam perjalanan ke Melaka untuk diagihkan kepada beberapa pasaraya sekitar negeri tersebut.


Tergamak sungguh segelintir manusia yang mengambil kesempatan di atas kesengsaraan orang lain. Mereka tidak menghiraukan anggota polis yang berkawal untuk terus mengutip duit syiling tersebut. Sanggup mereka memakan harta yang bukan hak mereka.

Sabtu, 15 Januari 2011

Novel Interlok Peroleh Promosi Percuma

Ada baiknya novel ini disensasikan. Secara tidak langsung novel ini menjadi popular tanpa dipromosi oleh penerbitnya sendiri.

Penulis juga teruja untuk memiliki dan membaca buku ini. Jika tidak kerana berita sensasi tentang novel ini, penulis tidaklah teruja untuk mendapatkannya. Ya lah, promosi untuk buku ini tidak meluas malahan penulis tidak tahu pun buku ini ada di pasaran.

Sudah 3 kedai buku dikunjungi untuk membeli buku ini, tetapi sudah habis terjual. Mengikut kata penjual, buku ini laris selepas timbul kontroversi. Bagus juga ada kontroversi. Penerbit tidak perlu bersusah payah mempromosikan buku ini.

Jumaat, 14 Januari 2011

Kenapa Tidak Sekarang ?

 

Selepas lapan musim bersiaran, stesen satelit berbayar, Astro mengumumkan Akademi Fantasia kesembilan (AF9) merupakan musim yang terakhir. Musim ke 9 akan berlangsung tidak lama lagi.

Persoalannya kenapa hendak tunggu habis musim ke 9 ? kenapa tidak dihentikan terus.Sepatutnya program realiti macam ini sudah lama dihentikan ataupun tidak diwujudkan langsung. Banyak keburukkannya berbanding kebaikan.

Limau Mandarin Kurang Di Pasaran


Dikhabarkan jumlah limau Mandarin, buah yang mesti ada pada sambutan Tahun Baru Cina, dijangka berkurangan dan harganya lebih tinggi pada musim perayaan Tahun Arnab kali ini.

Tidak ramai pemborong buah-buahan menyediakan bekalan limau Mandarin pada perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut awal Februari kerana harga yang mahal, persaingan sengit daripada pasar raya besar dan kurang permintaan daripada pengguna.

Nampaknya tidak dapatlah makan buah ini dengan banyak seperti tahun-tahun sebelum ini.

Khamis, 13 Januari 2011

Alahai .... Emak Fasha

Apakah pandangan Mama tentang imej Fasha berbikini?

HATIJAH : Kalau di sana ( Bali ), tak kisahlah tetapi jika di Malaysia memang tak bagi pakai. Kami pun selalu
                   pergi mandi-manda di sini, tetapi Fasha hanya pakai baju T dan seluar panjang.
                   Kami sekeluarga pernah bercuti di Phuket, Thailand sebelum ini dan Fasha pakai pakaian yang
                   sama tetapi tidak masuk surat khabar sebab kami tidak memuat naik gambar tersebut

Begitulah temu bual yang dipaparkan dalam akhbar Metro 13 Januari antara wartawan dengan ibu Fasha Sandha, Hatijah Tehman.

Pada pandangan penulis, begitu dangkalnya jawapan yang diberikan oleh beliau kerana seolah-olah berpakaian menjolok mata itu tidak salah jika dilakukan di luar negara sedangkan walau di mana sahaja, kita sepatutnya menjaga aurat kerana  itu tuntutan agama Islam.

Rabu, 12 Januari 2011

Tuah Pemain Bola Sepak Malaysia

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah perumpamaan tepat bagi skuad bola sepak Malaysia yang menjuarai Piala AFF Suzuki 2010. Hari ini, mereka diberi insentif saham amanah serta wang tunai berjumlah RM65,000 setiap seorang.

Setiap pemain dan jurulatih diberikan unit Amanah Saham Wawasan 2020 berjumlah RM50,000 yang bagaimanapun tidak boleh dikeluarkan sehingga tempoh 10 tahun, selain wang tunai berjumlah RM 15,000 iaitu RM 10,000 sumbangan Kerajaan Malaysia dan RM 5,000  lagi melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) daripada Majlis Sukan Negara.

Siapa sangka rezeki melimpah ruah kepada beberapa pemain daripada skuad ini. Daripada pemain yang tiada dalam perancangan ketua jurulatih, mereka dipanggil di saat akhir bagi menggantikan pemain regular yang tercedera dan akhirnya membantu skuad Malaysia muncul juara. Sudah pasti pemain yang sebelum ini saban tahun membarisi kesebelasan utama pasukan negara yang tercicir daripada skuad kali ini kerana mengalami kecederaan akan terasa kerugian. Begitulah adanya. Rezeki tuhan yang tentukan.

Myvi Kereta Paling Laris 2010

Perodua mengekalkan kedudukannya untuk tahun kelima berturut-turut di kalangan syarikat kereta di Malaysia model MyVi muncul sebagai model jualan terlaris sepanjang 2010.

Dengan harga yang berpatutan dan prestasi yang baik, memang tepatlah Myvi menjadi pilihan sebagai kereta pertama atau kedua untuk keluarga.

Selasa, 11 Januari 2011

Dera Kanak-Kanak: Kenapa Masih Berlaku

Kejadian kanak-kanak didera sehingga meninggal dunia berlaku lagi di negara kita. Terbaru di  Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru. Nur Dania Qistina Nurafizan, 3 tahun disahkan meninggal dunia dengan terdapat 73 kesan lebam di seluruh badan. Kanak-kanak malang ini dikatakan didera oleh ibu tirinya.

Pada mulanya kematian Nur Dania Qistina Nurafizan didakwa cuba disembunyikan oleh bapanya yang menghubungi bekas isterinya, mengatakan mangsa mati kerana lemas selepas tertonggeng di dalam baldi di bilik air.Namun selepas bedah siasat dijalankan di hospital Sultan Ismail, doktor mendapati terdapat kesan lebam di seluruh badan Nur Dania dipercayai dipukul dengan benda keras atau tangan. Kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah seksyen 302, kanun keseksaan.

Mengapalah kejadian ini masih terjadi, tidak takutkah mereka dengan hukuman mati yang bakal dijatuhkan kepada mereka jika didapati bersalah atau tidak takutkah mereka dengan balasan tuhan?

Isnin, 10 Januari 2011

Fasha Disensasikan Media Cetak

Semalam dan hari ini, berita tentang Fasha Sandha berbikini di Bali menjadi tajuk muka depan akhbar Kosmo. Dilaporkan gambar Fasha sedang bersukaria di pantai disebarkan oleh rakannya sendiri melalui Facebook. Bagi penulis, kenapalah berita ini disensasikan oleh media. Siap letak gambar lagi di muka depan akhbar tersebut. Ini jelas boleh mengaibkan seseorang. Walaupun gambar tersebut jelas mengaibkan kerana seorang wanita Melayu yang beragama Islam memakai pakaian yang tidak menutup aurat, namun tindakan akhbar yang turut mendedahkan gambar tersebut  kepada umum jelas menambahkan aib kepada pelakunya. Apa salahnya sekadar melaporkan  seorang artis wanita berbikini di bali tanpa mendedahkan nama dan gambar pelakon tersebut.

Sabtu, 8 Januari 2011

Amukan Madu

Senangnya dalam hati
Kalau beristeri dua
Terasa dunia ini
Ana yang punya

Kepada isteri tua
Ana sayang padanya
Kepada isteri muda
I say i love you

( korus )
Isteri tua merajuk
Balik kerumah isteri muda
Kalau dua-dua merajuk
Ana kahwin tiga

Mesti pandai pembohong
Mesti pandai temberang
Tetapi jangan sampai
Hai pecah tembelang
Petikan lirik lagu madu tiga nyanyian Allahyarham P. Ramlee menunjukkan indahnya hidup bermadu baginya namun tidak  semua hidup bermadu itu indah. Buktinya di Jitra, berlaku satu kejadian tragis melibatkan 2 madu yang gagal mengawal perasaan cemburu yang membuak-buak lalu isteri muda sanggup menetak kepala madu dan anak tirinya dengan parang dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Baru, Sungai Korok. Diberitakan Isteri muda yang sebelum ini tinggal berasingan dengan madunya, berpindah ke rumah isteri tua beberapa hari yang lalu untuk tinggal bersama.

Pada pandangan penulis, kalau mahu hidup bermadu, sediakanlah tempat berlindung berasingan. janganlah dikumpulkan semua isteri dalam satu rumah. Pastikan kemampuan kewangan yang mencukupi dahulu sebelum beristeri dua.

Jumaat, 7 Januari 2011

Engku Ibrahim Engku Ngah Akhiri Tugas Hari Ini

Sewaktu kecil-kecil dahulu, wajah inilah yang sering ditunggu oleh penulis ketika penghujung bulan Ramadan. Mana tidaknya, Engku Ngah Engku Ibrahim ini begitu sinonim dengan pengumuman tarikh hari raya Aidilfitri . Pada hari ini 7 Januari 2011, Engku Ngah mula bersara daripada tugas yang disandangnya selama 22 tahun. Kepada Beliau, diucapkan selamat bersara.

Dua Pencuri Kabel Dibelasah

Angkara mencari wang cara mudah, dua daripada tiga sahabat cedera teruk dibelasah penduduk kampung ketika mereka leka mencuri kabel pada tiang Telekom Malaysia (TM) di Kampung Mentera, Binjai Kota Bharu Kelantan. Petikan daripada akhbar kosmo hari ini. Kejadian mencuri kabel telefon banyak dilaporkan berlaku di mana-mana sahaja. Seringkali pencuri yang tertangkap oleh orang ramai menerima nasib yang sama seperti dua sahabat ini. Walaupun sudah banyak kali kejadian pukul beramai-ramai terjadi bilamana orang ramai hilang pertimbangan apabila berhadapan dengan pencuri yang dapat ditangkap, namun masih ada lagi yang melakukan kerja mencuri kabel ini.

Rabu, 5 Januari 2011

Perletakkan Jawatan Misbun Sidek Menjadi Tanda Tanya

Dunia sukan tanah air dikejutkan dengan perletakkan jawatan jurulatih badminton  perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek pada 4 Januari lalu. Siapa sangka tiada angin tiada ribut tetapi gelora yang melanda Persatuan Badminton Malaysia ( BAM ) sehinggakan jurulatih yang banyak berjasa kepada dunia badminton tanah air itu meletakkan jawatan. Tidak diketahui mengapa Datuk Misbun mengambil keputusan ini. Hanya empunya diri dan BAM yang mengetahui puncanya. Diharap kemelut ini tidak berpanjangan kerana ia dikhuatiri bakal menjejaskan program pembangunan badminton Malaysia dalam misi meraih pingat emas sukan olimpik 2012 nanti , apatah lagi Datuk Misbun merupakan insan yang bertanggungjawab menjadikan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai pemain yang disegani di dunia ketika ini.

Minyak Naik Lagi

Minyak petrol Ron 97 dinaikkan lagi 10 sen seliter berkuatkuasa 5 Januari 2011. Harga terkini Ron 97 menjadi RM 2.40 seliter. Kenaikan ini nyata membebankan golongan berpendapatan rendah walaupun harga petrol Ron 95 tidak dinaikkan. Ini kerana kenaikan harga petrol akan menyebabkan barangan keperluan akan turut meningkat. Pengeluar barangan akan memberi alasan kenaikan harga minyak menyebabkan kos operasi bertambah dan untuk mengelakkan pengeluar menanggung beban, maka harga barangan terpaksa dinaikkan. Kenaikan pada awal tahun ini sungguh mengejutkan ramai  kerana bagi yang berkeluarga dan mempunyai anak-anak yang bersekolah, sudah tentu banyak perbelanjaan yang perlu dibereskan seperti barangan keperluan persekolahan termasuklah yuran persekolahan,yuran PIBG dan pelbagai lagi bayaran beraitan dengan pendidikan anak-anak. Bagi penjawat awam, walaupun menerima saguhati kerajaan sebanyak RM 500 pada bulan Disember lepas, nilai itu semakin  kurang bernilai dengan keadaan harga barang semakin melambung. Kini diasak pula dengan kenaikan harga petrol, bermakna bersedialah untuk kita berdepan dengan kenaikan harga barang keperluan harian.

Minyak Oh Minyak

Sekarang ini rata-rata bercerita tentang bekalan minyak masak sukar diperolehi di kedai-kedai runcit dan juga di pasar raya. Agak-agaklah, adakah harga minyak masak ini bakal dinaikkan? Mengikut kebiasaannya, jika sesuatu barang keperluan itu kurang di pasaran, bermakna ada aktiviti menyorok bekalan sementara menunggu harganya dinaikkan.Menteri yang bertanggungjawab menyatakan usah risau kerana bekalan minyak masak mencukupi tetapi realitinya adalah amat sukar untuk membeli minyak masak di pasaran. Jika masalah kekurangan bekalan minyak masak ini berterusan, adakah harga makanan bergoreng juga akan turut naik?.Dan paling membimbangkan jika ada peniaga menggunakan minyak masak berulang kali ketika menggoreng bagi menjimatkan kos.

Selasa, 4 Januari 2011

Santan Naik RM 2 Sekilogram

Harga santan di pasaran naik mendadak dari RM 4.50 sekilogram kepada RM 6.50 sekilogram lapor akhbar Harian Metro edisi tengah di muka surat 16 A, 4 Januari 2011. Pada pandangan penulis, kenaikan mendadak sehingga RM 2 sekilogram adalah amat tidak munasabah dan membebankan pengguna. Dari sudut positif pula, penulis berasakan sudah tiba masanya rakyat Malaysia kurangkan makanan berlemak dan mula mengamalkan cara pemakanan sihat. Kurangkan gula dan lemak dalam makanan.

Isnin, 3 Januari 2011

Proton Saga FL- Keluaran Terbaru Proton

 
Proton Saga FL, Saga versi terbaru dari Proton telah dilancarkan pada penghujung Disember lepas dalam dua varian iaitu Standard dan Executive bagi menggantikan varian sebelumnya iaitu N-line, B-line dan M-line. Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2008 yang lalu, model Saga berjaya menjadi kereta keluaran Proton yang paling laris. Terdapat banyak faktor yang memungkinkan Saga menjadi model terlaris Proton, salah satu faktor utama ialah harganya yang berada di bawah paras RM50k, mampu dicapai oleh kebanyakan rakyat Malaysia dari semua golongan.

Diharap model terbaru ini tidak menerima banyak rungutan daripada pengguna dan memberi kepuasan pemanduan yang baik sejajar dengan nilai yang dikeluarkan oleh pembeli.